Seruan kepada Perang Salib Perang_Salib_Kelima

Pada musim bunga tahun 1213, Paus Innocent III telah mengeluarkan piagam kepausan Quia maior, yang menyeru semua umat Kristian untuk menyertai satu Perang Salib yang baru. Walau bagaimanapun, raja-raja Eropah leka dengan perperangan sesama sendiri. Pada masa yang sama, Paus Innocent III tidak inginkan bantuan mereka, kerana satu perang salib terdahulu yang diketuai raja-raja telah gagal pada masa yang lalu. Dia mengarahkan perarakan, sembahyang dan khutbah diadakan untuk membantu dalam menyusun perang salib tersebut dengan membabitkan orang awam, bangsawan kelas bawahan dan kesatria.

Perancis

Risalah perang salib tersebut telah disampaikan di Perancis oleh Robert dari Courçon; walau bagaimanapun, tidak seperti Perang-perang Salib yang lain, tidak ramai kesatria Perancis yang menyertainya disebabkan mereka sudah pun berperang menentang mazhab sesat Kathar di selatan Perancis dalam Perang Salib Albigensian.

Pada tahun 1215, Innocent III telah menganjurkan Persidangan Lateran Keempat. Dalam persidangan ini, bersama-sama dengan Latin Patriarch dari Jerusalem, Raoul dari Merencourt, dia membincangkan penawanan kembali Tanah Suci di samping hal-hal gereja yang lain. Innocent mahu perang salib ini berada dalam kawalan penuh pihak Pope sebagaimana yang sepatutnya berlaku pada Perang Salib Pertama, untuk mengelakkan kesilapan-kesilapan Perang Salib Keempat yang diambilalih oleh orang-orang Venice. Innocent merancang bagi tentera salib untuk bertemu di Brindisi pada tahun 1216, dan melarang perdagangan dengan orang Islam untuk memastikan bahawa tentera-tentera salib dapat memiliki kapal-kapal dan senjata. Setiap tentera salib akan menerima surat pengampunan dosa, termasuklah mereka yang hanya membantu membiayai perbelanjaan seorang tentera salib tetapi mereka sendiri tidak pergi menyertai perang salib tersebut.

Jerman dan Hungary

Oliver dari Cologne telah berkhutbah mengenai perang salib tersebut di Jerman, dan Maharaja Frederick II cuba menyertainya pada tahun 1215. Frederick merupakan penguasa terakhir yang dikehendaki Innocent untuk menyertai perang salib tersebut disebabkan dia pernah mencabar kewibawaan pihak Pope. Bagaimana pun, Innocent meninggal dunia pada tahun 1216. Dia digantikan oleh Paus Honorius III yang menghalang Frederick daripada mengambil bahagian dalam perang salib tersebut, namun telah menyusun pasukan-pasukan tentera salib yang diketuai Raja Andrew II dari Hungary dan Duke Leopold VI dari Austria. Andrew mempunyai pasukan tentera diraja yang terbesar dalam sejarah perang salib (20,000 orang kesatria dan 12,000 buah garison kota).